Monday, June 1, 2009

SIAPAKAH HARUS MENANGGUNG KENAIKAN KOS HAJI

Ada dua kumpulan Umat Islam menyertai Tabung Haji yang mempunyai matlamat yang berbeza. Kumpulan pertama mahukan perkhidmatan dan kemudahan kepada mereka apabila hendak menunaikan ibadat haji. Satu kumpulan lagi mahu menjadikan tabung haji sebagai saluran pelaburan bumiputera secara berkesan. Kedua-dua kumpulan ini mempunyai matlamat yang berbeza dan mempunyai kepentingan yang berbeza mengenai isu subsidi kepada jemaah haji.

Kepada mereka yang mengunakan Tabung Haji sebagai ejen menunaikan ibadat haji, sentiasa meminta supaya kos tambahan mengerjakan haji saban tahun ditanggung oleh Tabung Haji. Bagi mereka yang menggunakan Tabung haji sebagai ejen pelaburan tentu tidak mahu keuntungan wang simpanan mereka digunakan untuk tujuan kebajikan jemaah haji kerana ibadah haji diwajibkan kepada mereka yang terdaya dan mampu sahaja. Jika seseorang itu tidak mampu, maka ibadah haji itu tidak wajib baginya. Oleh itu tidak timbul isu subsidi kepada jemaah haji.

Kerajaan perlu menanggung kos perkhidmatan kesihatan, pelajaran, keselamatan, sosial dan lain-lain kepada rakyat Malaysia semasa mereka berada di Mekah atau Madinah kerana menjadi tangungjawab kerajaan menanggung kos itu. Alasannya ialah mereka akan pergi ke Hospital Kerajaan jika mereka berada dalam negeri. Oleh itu bajet tersebut patutlah dipindahkan dari Malaysia ke Mekah. Kementerian Kesihatan boleh mengguna bajet mereka yang sedia ada sebagai bajet jemaah haji.

Perkhidmatan kepada jemaah haji seumpama perkhidmatan kepada rakyat yang sedang berada di negara ini juga kerana mereka memerlukannya. Ia menjadi sebahagian daripada bajet kerajaan. Difahamkan bahawa selama ini Tabung Haji menanggung kos ini yang diambil daripada keuntungan pelaburannya. Dengan sebab itu dividen pelabur tabung haji menguncup atau tidak begitu tinggi sangat.

Kerajaan sepatutnya mengambil alih hospital dan klinik tabung haji yang berada di Mekah atau Madinah kerana pengendalian hospital dan klinik itu menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan.

Tabung Haji telah memikul beban kewangan lebih daripada sepatutnya kerana telah membayar cukai berganda iaitu cukai hasil perniagaannya dan cukai Islam yang bernama zakat. Mengapa harus banyak berkorban?

Pengurusan Tabung Haji mestilah mengeluarkan perangkaan mengenai perkara-perkara yang tersebut di atas supaya jemaah haji dan pelabur tabung haji mendapat gambaran yang jelas. Tidak ada sebab pelabur tabung haji mahukan dividen sahamnya menurun. Juga tidak ada sebab bagi seseorang Islam yang tidak memenuhi syarat kemampuan kewangan, meminta pelabur tabung haji menanggungnya?

No comments:

Post a Comment