Monday, June 1, 2009

MENANGANI ISU AGAMA SECARA HIKMAH

Setiap tahun kita disemarakkan dengan pelbagai perayaan kaum dan agama. Umat Islam yang penganutnya dari pelbagai kaum, merayakan hari raya haji pada 20 Disember, Orang Kristian yang penganutnya dari pelbagai kaum juga akan merayakan hari krismas pada 25 Disember nanti. Ajaran Nabi Muhammad S.A.W mengiktiraf agama kristian sebagai agama kitab. Sebab itu baginda telah menerima mereka sebagai rakan kongsi dalam negara Islam yang dilahirkan di Madinah.

Semua perayaan ini ada hubungan rapat dengan rumah ibadat seperti masjid dan gereja. Rumah ibadat umat islam seperti masjid didirikan mengikut peraturan yang ditetapkan. Ia tidak boleh didirikan di merata-rata tempat mengikut sesuka hati tuan imam. Masjid tidak boleh didirikan di atas tanah persendirian kecuali setelah tanah itu di tukar syarat menjadi tanah wakaf untuk masjid berkenaan.

Begitu juga dengan rumah ibadat orang kristian seperti gereja. Mereka tidak mendirikannya di merata-rata tempat sesuka hati paderinya. Mereka mendirikannya mengikut reka bentuk yang menarik seprti kita lihat di Melaka dan lain-lain tempat yang mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu. Bangunan tetap sebagai rumah ibadat dengan perancangan yang teliti harus menjadi teladan kapada mana-pihak berminat mendirikan rumah ibadat.

Setiap orang boleh melakukan cara ibadatnya secara bersendirian di mana-mana tempat pun kerana perlembagaan kita memberi kebebasan beragama dan beribadat. Kebebasan beragama itu tidaklah bermakna mana-mana orang Islam yang mengerjakan solat di tanah lapang, boleh mendakwa bahawa tanah itu adalah tanahnya dan dia bebas mendirikan masjid di situ. Jika ada dakwaan seumpama itu kerana ada kepentingan peribadi untuk mendapat pampasan, tidak ada sesiapa dari kalangan pemimpin Islam menyokong tuntutan itu, malah mencegahnya secara hikmah.

Senario ini menjadi kita lebih keliru apabila ada sekumpulan penganut agama tertentu sengaja mencari tempat strategik untuk mendiri tempat ibadatnya dengan alasan dia bermimpi demikian. Keadaan lebih keliru apabila ada beberapa individu lain mendakwa mendapat mimpi yang serupa dan mendakwa rumah ibadah itu kepunyaannya. Oleh sebab demikian, rumah ibadah itu menjadi rebutan dua jawatankuasa yang mempunyai kepentingan bersama dan membuat tuntutan yang sama kepada kerajaan atau kepada syarikat perumahan. Ini bukan isu kebebasan beragama tetapi isu orang mencari kesempatan. Tulisan ini dibuat berasaskan pengalaman sebagai ahli parlimen di salah satu kawasan yang banyak terdapat kuil.

Yang lebih malang lagi kerana ada pemimpin-pemimpin aktivis agama bertindak menjadi wira mereka yang mendirikan rumah ibadah sesuka hati mengikut mimpi masing-masing bukan mengikut kanun tanah negara atau mengikut undang-undang kerajaan tempatan. Yang sangat mendukacitakan pemimpin-pimpin itu dari kumpulan propesional yang sangat arif dengan peraturan kerajaan tempatan, cekap dengan kanun tanah negara malah cekap dalam segala undang-undang negara dan antarabangsa. Orang-orang inilah menjadi dalang kepada kumpulan haram sehingga nama negara tercemar diluar negara sebagai negara yang tidak aman dan terjejas teruk industri pelancongan kita.

Sekarang timbul fasa baru apabila ada tuntutan supaya ditubuhkan satu jabatan bukan agama Islam setaraf dengan jabatan agama Islam di negeri-negeri atau di Jabatan Perdana Menteri sebagai jabatan bukan agama Islam. Perkara ini berlaku kerana dalam pelajaran sivik tidak dimasukkan tafsiran agama rasmi dan hal ehwal Islam dibawah bidang kuasa raja-raja Melayu. Jabatan Hal Ehwal Islam (JAKIM) hanya berfungsi sebagai penyelaras program agama tiap-tiap negeri sahaja. Sebab itu kerajaan tidak pernah melayan tuntutan mana-mana pihak untuk menubuhkan Kementerian Agama Islam kerana ia akan bercanggah dengan perlembagaan negara.

Ini tidak bermakna isu-isu bukan agama Islam tidak ada tempat untuk berteduh kerana mereka boleh berunding dengan ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen di kawasan mereka. Jabatan Perdana Menteri juga ada menubuhkan sebuah agensi yang bernama Institut Kemahiran Islam (IKIM) yang membuka pintunya kepada Non Muslim. Mereka sentiasa mengadakan seminar dan forum untuk mereka yang bukan beragama Islam. Ada banyak isu yang telah ditimbulkan. Jabatan-jabatan kerajaan yang ada hubungan dengan undang-undang dan perlembagaan, sentiasa mengadakan dialog dengan pelbagai golongan agama termasuk yang bukan beragama Islam terutamanya isu pertukaran agama, penjagaan anak, harta sepencarian dan lain-lain. Mengapa kita tidak mahu membenarkan jabatan dan agensi ini menjalankan tugas mereka? Seperti orang lain, mereka juga memerlukan masa.

Sebelum kita menyambut lima puluh tahun merdeka, isu seumpama ini tidak pernah timbul, kerana generasi merdeka tahu sejarah Tanah Melayu malah mereka sangat tahu dengan sejarah tuntutan kemerdekaan negara kita. Mereka tahu bagaimana suku kaum Cina, India bersetuju dengan isi kandungan manifesto Perikatan dalam pilihan raya tahun 1955 dan memorandum bermasa antara semua kaum dalam Perikatan kepada Suruhanjaya Reid, yang menuntut perkara-perkara seperti Islam sebagai agama persekutuan di bawah bidangkuasa raja-raja Melayu, mengekal hak istimewa orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Sudah sampai masanya bagi pihak media elektronik memberi didikan mengenai perlembagaan negara kita dan sejarah asal usul negara ini supaya dapat difahami oleh semua kaum di negara ini terutama generasi muda. Didikan ini lebih berkesan jika dibuat dalam bentuk iklan kartun tetapi direka dengan panduan dan nasihat dari pakar perundangan dan hal ehwal Islam, supaya tidak pula timbul isu baru yang menyusahkan pula. Kita perlu menangani isu-isu agama secara hikmah. Usaha itu boleh juga dibuat dalam bentuk nyanyian.

Rencana ini disiarkan dalam Utusan Melayu pada hari raya haji khamis 20hb Disember 2007

No comments:

Post a Comment