Monday, June 1, 2009

SIAPAKAH HARUS MENANGGUNG KENAIKAN KOS HAJI

Ada dua kumpulan Umat Islam menyertai Tabung Haji yang mempunyai matlamat yang berbeza. Kumpulan pertama mahukan perkhidmatan dan kemudahan kepada mereka apabila hendak menunaikan ibadat haji. Satu kumpulan lagi mahu menjadikan tabung haji sebagai saluran pelaburan bumiputera secara berkesan. Kedua-dua kumpulan ini mempunyai matlamat yang berbeza dan mempunyai kepentingan yang berbeza mengenai isu subsidi kepada jemaah haji.

Kepada mereka yang mengunakan Tabung Haji sebagai ejen menunaikan ibadat haji, sentiasa meminta supaya kos tambahan mengerjakan haji saban tahun ditanggung oleh Tabung Haji. Bagi mereka yang menggunakan Tabung haji sebagai ejen pelaburan tentu tidak mahu keuntungan wang simpanan mereka digunakan untuk tujuan kebajikan jemaah haji kerana ibadah haji diwajibkan kepada mereka yang terdaya dan mampu sahaja. Jika seseorang itu tidak mampu, maka ibadah haji itu tidak wajib baginya. Oleh itu tidak timbul isu subsidi kepada jemaah haji.

Kerajaan perlu menanggung kos perkhidmatan kesihatan, pelajaran, keselamatan, sosial dan lain-lain kepada rakyat Malaysia semasa mereka berada di Mekah atau Madinah kerana menjadi tangungjawab kerajaan menanggung kos itu. Alasannya ialah mereka akan pergi ke Hospital Kerajaan jika mereka berada dalam negeri. Oleh itu bajet tersebut patutlah dipindahkan dari Malaysia ke Mekah. Kementerian Kesihatan boleh mengguna bajet mereka yang sedia ada sebagai bajet jemaah haji.

Perkhidmatan kepada jemaah haji seumpama perkhidmatan kepada rakyat yang sedang berada di negara ini juga kerana mereka memerlukannya. Ia menjadi sebahagian daripada bajet kerajaan. Difahamkan bahawa selama ini Tabung Haji menanggung kos ini yang diambil daripada keuntungan pelaburannya. Dengan sebab itu dividen pelabur tabung haji menguncup atau tidak begitu tinggi sangat.

Kerajaan sepatutnya mengambil alih hospital dan klinik tabung haji yang berada di Mekah atau Madinah kerana pengendalian hospital dan klinik itu menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan.

Tabung Haji telah memikul beban kewangan lebih daripada sepatutnya kerana telah membayar cukai berganda iaitu cukai hasil perniagaannya dan cukai Islam yang bernama zakat. Mengapa harus banyak berkorban?

Pengurusan Tabung Haji mestilah mengeluarkan perangkaan mengenai perkara-perkara yang tersebut di atas supaya jemaah haji dan pelabur tabung haji mendapat gambaran yang jelas. Tidak ada sebab pelabur tabung haji mahukan dividen sahamnya menurun. Juga tidak ada sebab bagi seseorang Islam yang tidak memenuhi syarat kemampuan kewangan, meminta pelabur tabung haji menanggungnya?

PERLEMBAGAAN KITA ASAS PENYATUAN UMAT

Umat Islam kini sudah kelihatan lemah kerana mereka tidak percaya kepada kekuatan diri mereka sendiri. Mereka membiar orang luar mengkotak-katikkannya. Mereka menyerah pengaruh dan kuasa yang ada dalam tangan mereka kepada kuasa besar. Saban hari kita melihat pertumpahan dalam kalangan umat Islam sendiri berpunca daripada hasutan orang luar. Mereka datang ke negara Islam bukan bertujuan menyelamatkannya tetapi bertujuan menghancurkannya. Pertempuran yang berlaku di Palestin, Iraq, Aghanistan, Lubnan dan banyak lagi sudah menjadi bukti yang tidak boleh dipertikaikan.

Marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan negara kita tidak menjadi gelanggang yang menyedihkan namun bunga-bunga api yang berbahaya itu telah mula berpercik di sana disini yang digerakkan oleh orang luar tetapi orang dalam menjadi dalangnya. Mereka tahu bahawa umat Islam tidak boleh dilemahkan dari luar tetapi mesti dilakukan dalam kalangan umat Islam itu sendiri. Sebab itu yang mempertikaikan Islam bukan orang luar tetapi orang Islam sendiri.

Negara ini adalah negara umat Islam kerana takrif Melayu itu ialah seseorang yang menganut agama Islam dan berbudaya Melayu. Kita tinggal disini semenjak turun temurun. Itulah tanah air kita yang dikenali sebagai Tanah Melayu. Kita adalah pewaris Tanah Melayu yang sah mengikut undang-undang antarabangsa. Sebab itu penjajah Inggeris mengiktirafkannya dan bersetuju dengan kehendak Raja-raja Melayu. Mereka hanya berunding dengan Raja-raja Melayu yang memiliki hak pusaka Tanah Melayu. Penjajah Inggeris tidak berunding dengan pihak lain kecuali dengan Raja-Raja Melayu dan pertubuhan yang mewakili orang Melayu.

Semasa Setiausaha Negara British melawat Malaya Pada tahun 1956, beliau telah mengadakan perundingan dengan Raja-Raja Melayu dan Parti Perikatan untuk mengambil langkah berikut sebagai usaha memberi taraf bekerajaan sendiri kepada Persekutuan Tanah Malayu.

Ketiga-tiga pihak telah bersetuju secara prinsip supaya ditubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menyemak perlembagaan persekutuan yang sedia ada. Terma rujukan dan kandunganya telah dibincang pada awal bulan Januari dan Februari1956 di London. Semua pihak telah bersetuju supaya Persekutuan Tanah Melayu diberi bekerajaan sendiri sepenuhnya dan diumumkan dalam bulan Ogos 1957 dalam lengkungan negara-negara Commonwelth.

Oleh sebab itu mereka berpendapat supaya Suruhanjaya Perlembagaan Commonwelth, patutlah segera ditubuhkan supaya dapat membuat perakuan mengenai perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Mereka telah bersetuju mengenai terma rujukan deraf perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan siapa yang patut duduk dalam suruhanjaya perlembagaan itu. Cadangan in telah dibawa kepada Her Majesty The Queen dan dipersembahkan KDYMM Persidangan Raja-raja Melayu. Pada 7 mac 1956 telah disiarkan satu kertas putih kerajaan Persekutuan No. 15 tahun 1956. Ia menyebut seperti berikut:

“The Appoval of Her Majesty The Queen and the Conference of Rullers has now been Signified to the recommendations of the constitutional Conference for the appointment of an independent Commission to make recommendations for a form of constitution for a fully self-governing and independent Federation of Malaya within the Commonwealth”

RUJUKAN: Report of the Federation of Malaya Commission 1957.

BAHAYA JIKA PEMBANGKANG KUAT

Adakah benar, negara dalam bahaya, jika pembangkang kuat? Adakah benar jika kerajaan kaut, maka negara boleh menjadi aman bahkan, menjadi lebih makmur. Dua persoalan diatas, bukan satu polimik politik hendak menyokong kerajaan yang memerintah dengan menafikan kebaikan pembangkang yang kuat di negara kita. Dua persoalan di atas itu hanya sekadar hendak menggerakkan minda anak-anak muda kita agar berfikir secara positif kerana mereka sedang menggunakan kuasa sebagai pengundi generasi baru dalam dunia saiber

Sebelum mengorak langkah kedunia saiber yang lebih rumit, maka lebih baik kita melihat kehidupan sebenar di sekeliling kita. Kita di Malaysia boleh melihat realiti kehidupan harian kita sendiri di sini, apabila dibandingkan dengan kehidupan dua jiran sebelah menyebelah rumah kita. Rumah jiran di sebelah kanan rumah kita kelihatan tenang dan aman. Tidak ada pergaduhan dan pertengkaraan antara seisi keluarga. Kehidupan harian mereka santiasa mesra dan menggembirakan. Anak mereka pergi ke sekolah tanpa gangguan. Mereka tidak menghadapi gangguan kesesakan jalan raya kerana tidak ada perarakan dan tunjuk perasaan.

Rumah jiran di sebelah kiri rumah kita pula, tidak pernah tenang. Seisi rumah tidak menikmati ketenteraman sekalipun memperolehi kebebasan mutlak. Setiap hari ada demonstrasi dalam keluarga kerana setiap isi keluarga bebas melakukan apa sahaja yang disukainya tanpa ada batas moral dan agama. Muka yang lebam menandakan berlakunya pergelutan dan pergaduhan. Perkara seumpama ini dapat dilihat apabila ada fahaman yang berhaluan kiri menguasai rumah itu

Negara kita berjiran dengan dua buah negara yang mempunyai dua buah kerajaan yang diperintah oleh beberapa parti yang berlainan idiologi. Singapura berjaya menyekat kemaraan pembangkang, malah tidak ada pembangkang di negaranya. Kita tidak pernah mendengar ada tunjuk perasaan di Singapura malah tidak ada suara sumbang di parlimen mereka. Kesan daripada fenomena politik seumpama itu, Singapura menjadi sebuah negara yang dianggap maju. Ramai pelabur asing berkampung di sana malah lebih ramai pelancong memilih Singapura sebagai destinasi kerana negara itu aman dan tenteram kerana semua pelancong mencari kedamaian hidup.

Lihat sahaja negara jiran kita yang lain. Setiap minggu ada tunjuk perasaan di jalan raya. Setiap tahun ada peralihan kerajaan dari satu parti kepada satu parti yang lain. Mereka tidak lagi hormat kepada raja. Sebahagian rakyatnya yang dikenali sejarah sebagai rakyat yang bersopan santun telah berubah dengan drastiknya kepada rakyat yang sudah lupa kepada budaya hidup yang diwarisi zaman berzaman. Apa jadi kepada negara mereka? Pelabur tidak lagi memilih lapangan terbang negara itu tetapi telah memilih lapangan terbang Singapura. Pelancong yang tertarik dengan keunikan alam semula jadi negara itu telah beralih ke Singapura, sekali pun negara itu tidak mempunyai banyak produk pelancongan. Tarikannya hanyalah keselamatan dan keamanan kerana pelancong mencari kedamaian hidup.

Negara kita mempunyai ramai anak-anak muda yang mendaftar sebagai pengundi. Mereka boleh memilih mana-mana parti atau sistem yang dipaparkan diatas. Sebagai anak muda, tentulah mereka dipengaruhi oleh darah muda yang mahu melihat perubahan. Namun perubahan corak pemerintahan negara tidak boleh disamakan dengan corak pakaian. Jika anak muda menukar corak pakaiannya, tentu tidak ada apa-apa masalah, selagi pakaian itu menutup aurat. Tetapi menukar corak pemerintah yang tidak boleh menjamin keamanan dan keselamatan negara, tentu generasi anak muda itu sendiri akan menghadapi masa depannya yang getir.

Orang-orang bijaksana berharap kepada golongan anak muda yang berfikiran waras dan mempunyai wawasan jelas, supaya memilih jalan yang lurus dan benar dengan penuh iltizam untuk mendukung masa depan anak-anak muda zaman ini ke satu destinasi yang selamat. Tanggungjawab ini patut dipikul bersama terutama mereka yang bertanggungjab di universiti-universiti kita samada tenaga pengajar atau kepimpinan pelajar.

PERTAHAN KONGSI KUASA

Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti yang berjaya mengekalkan kuasa pemerintahan Malaysia semenjak 50 tahun yang lalu melalui 10 kali pilihan raya. BN adalah sebuah parti gabungan yang dianggotai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Persatuan Cina Malaysia (MCA). Kedua-dua parti ini digabungkan dalam sebuah pakatan yang diberi nama Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN). Gabungan ini ditubuhkan dalam satu rundingan meja bulat dalam tahun 1952. Kemudiannya MIC menyertainya apabila melihat kedua-dua parti ini mendapat kejayaan besar dalam pilihanraya Majlis Bandaran Kula Lumpur pada tahun1952.

Dalam Perikatan atau BN, UMNO mewakili orang Melayu, MCA mewakili orang Cina dan MIC mewakili orang India. Gabungan ini dinamakan Perikatan kerana bersesuaian dengan pepatah Melayu “Bersatu teguh berpecah roboh”. Pepatah in lebih bermakna kepada negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Parti gabungan dalam perikatan ini tidak bersifat sementara tetapi berkekalan sehingga sekarang. UMNO yang menjadi tonggak kepada Perikatan adalah sebuah pertubuhan politik Melayu yang bersifat pragmatik, praktikal dan banyak menghitungkan keadaan dan akibat yang sebenar, manakala pelaksanaannya tidak menimbulkan kesusahan di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Sejarah penubuhan UMNO berpunca daripada angkara penjajah Inggeris mahu meluaskan empayar tanah jajahannya. Mereka mahu menjadikan Tanah Melayu sebagai tanah jajahannya yang baru melalui perjanjian Malayan Union yang merampas hak dan kuasa raja-raja Melayu untuk diserah kepada pentadbiran Pejabat Tanah Jajahan Brirish di London. Semasa Bangsa Melayu berjuang menentang Malayan UNION tahun 1946, tidak ada seorang pun penduduk dari kalangan kaum Cina atau penduduk dari kaum India yang turut serta dalam perjuangan itu kerana beranggapan negeri ini, negeri orang Melayu maka sewajarnyalah orang Melayu sahaja memperjuangkannya. Barangkali mereka lebih rela hidup di bawah penjajahan Inggeris. Perjuangan menentang Malayan Union itu berjaya apabila Pejabat Tanah Jajahan British bersetuju menghapuskan Malayan Union dan mengantikannya dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dan wujudlah sebuah kerajaan yang bernama Kerajaan Persekutuan. Perjuangan ini berjaya dicapai di bawah kepimpinan Datuk Onn Jaafar yang menjadi Yang Dipertua Agung UMNO yang pertama

Sebenarnya perjuangan UMNO bukan sekadar menentang Malayan Union tetapi berjuang dengan hasrat mahu membebaskan Tanah Melayu dari penjajahan Britisah kerana negara-negara di sekelilingnya, seperti Indonesia, Filipina, Cylon dan India sudah pun merdeka. Sebab itu lahir fasa kedua dalam perjuangan UMNO iaitu berjuang menuntut kemerdekaan.

Kerajaan British bersetuju memberi kemerdekaan tetapi dengan syarat orang Melayu dapat bekerjasama dengan orang-orang bukan Melayu seperti orang Cina dan orang India yang berada di Tanah Melayu. Usaha Tun Tan Cheng Lock sebagai pemimpin orang-orang Cina di negeri Selat berjaya melobi di London supaya kemerdekaan Tanah Malayu itu dapat dikecapi bersama oleh orang-orang Cina. Tun Tan Cheng sangat berpengaruh di London sehingga beliau di anugerah bintang yang membawa gelaran “Sir”

Tuntutan UMNO berasaskan peralihan kuasa berperingkat-peringkat yang berlandaskan demokrasi berparlimen dan negara berperlembagaaan. Peringkat pertama UMNO berjuang menuntut supaya diadakan kerajaan bersendiri melalui pilihan raya dan peringkat kedua menuntut kemerdekaan sepenuhnya sebagai sebuah negara yang bebas dan mempunyai perlembagaannya sendiri.

Dalam proses tuntutan ini, pihak British telah meminta kerjasama pemimpin UMNO supaya menimbang kedudukan orang Cina dan orang India yang berada di Tanah Melayu pada masa itu. Antara perkara penting yang ditunut oleh British ialah memberi kerakyatan kepada penduduk Cina dan penduduk India. Sebab itu timbul isu jus soli yang hangat dibincangkan pada masa itu.

Isu jus soli menjadi punca Allahyarham Dato’ Onn Jaafar sebagai Yang Dipertua UMNO pertama, merajuk dan meninggalkan UMNO kerana majoriti ahli-ahli UMNO menentang hasratnya yang mahu melaksanakan dasar jus soli malah mahu membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu. Inilah puncanya Datuk Onn melepaskan jawatanya dalam perhimpunan Agung UMNO tahun 1952, secara rasmi. Perhimpunan itu telah memberi penghargaan yang tinggi di atas jasanya yang besar memimpin UMNO dari 1946 hingga 1952 terutama kejayaannya menentang Malayan Union.

Dalam pemilihan pucuk pimpinan UMNO yang baru, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj (Tunku) telah mengalahkan dua orang calon lain dan ditabalkan sebagai Yang Di Pertuan Agung UMNO yang kedua. Dalam ucapan sulongnya Tunku menyebut “Orang Melayu bukan satu bangsa yang tamak kerana bersedia menerima jiran dari kalangan orang Cina atau India di Kampung yang penduduknya orang-orang Melayu belaka, malah kedai runcit bukan Melayu lebih berjaya dari kedai runcit orang Melayu sendiri di Kampung Melayu”. Dalam ucapan sulung itu juga Tunku menegaskan tentang ketuanan Melayu.

Tunku telah meneruskan perjuangan Dato’ Onn tetapi mengikut arus perdana yang menentang dasar jos soli, lebih-lebih lagi menentang sebarang usaha membuka pintu keahlian UMNO kepada bukan Melayu. Dato’ Onn tidak patah semangat tetapi membuka parti baru bernama Independence Malaya Parti (IMP) dan kemudiannya Parti Negara yang membuka keahliannya kepada semua kaum.

UMNO meneruskan perjuangannya dengan menuntut diadakan kerajaan bersendiri melalui pilihan raya. Keadaan menjadi tegang kerana Kerajaan Persekutuan yang didalangi penjajah itu tidak bersetuju ahli yang dipilih dalam pilihanraya itu mendapat suara majoriti dari ahli yang dilantiknya. Pendirian ini berubah apabila Perikatan menang 51 dari 52 kerusi yang dipertandingkan. Dengan kemenangan itu, jalan terbuka luas bagi Perikatan membuat tuntutan kemerdekaan melalui proses perundingan dengan Pejabat Tanah Jajahan British di London yang panjang dan berliku-liku. UMNO telah bertindak secara hikmah untuk memenuhi kehendak British agar UMNO boleh bekerjasama dengan orang-orang Cina dan orang-orang India?

Dalam pilihanraya Perbandaran tahun 1952, UMNO dan MCA Kuala Lumpur telah bersetuju supaya bertanding atas satu pakatan dan diatas satu simbol. UMNO dan MCA telah menang besar manakala parti IMP pimpinan Dato’ telah kalah. Berpunca dari kemenangan ini Tunku telah mengadakan rundingan meja bulat dengan MCA dan bersetuju menubuhkan Perikatan. Kemudiannya MIC turut serta sama. Penubuhan ini berasaskan pengalaman bahawa parti yang membuka keahliannya kepada semua kaum sukar diterima di negara ini. Lebih sesuai jika parti-parti itu ditubuhkan mengikut kaum masing-masing seperti UMNO, MCA dan MIC.

Bertolak dari sini, Perikatan telah berfungsi dengan berkesan dan dapat memegang kuasa. Setiap keputusan yang dibuat oleh UMNO, Tunku akan berunding dengan MCA dan MIC. Semua perundingan menuntut kemerdekaan disertai bersama semua tiga parti UMNO, MCA dan MIC. Gambar-gambar sejarah mengenai perundingan kemerdekaan telah membuktikan semangat kerjasama ini. Kerjasama ini telah membawa kejayaan cemerlang dalam pilihan raya umum pertama tahun 1955 apabila Perikatan menang 51 kerusi dari 52 kerusi yang dipertandingkan. Keputusan pilihan raya ini membuktikan orang Melayu boleh bekerjasama dengan bukan Melayu. Pilihan raya ini juga membuktikan kejayaan Perikatan yang menggabungkan UMNO, MCA dan MIC tetapi tersembunyi satu rahsia dalam lipatan sejarah.

Rahsianya telah dibongkar oleh Tunku dalam bukunya “Looking Back” yang memuji sikap Tan Sri T.H. Tan, Setiausaha Perikatan yang pertama, kerana menghargai pengorbanan pemimpin UMNO yang sanggup dan rela hati melepaskan kawasan majoriti pengundi Melayu kepada calon MCA atau calon MIC. Malah mereka sanggup berkempen siang dan malam untuk memenangkan calon-calon MCA dan MIC. Tidak seorang pun calon MCA atau MIC yang kalah. Semangat yang dirakamkan oleh Tunku dalam The Star itu patutlah dihidupkan semula kerana konsep kongsi kuasa itu perlu dihayati sepanjang masa. Semangat seumpama ini patutlah disemai dan diperbaharui di kalangan generasi muda sekarang agar angkara buruk tidak boleh berlaku.

RENCANA KEADILAN DALAM ISLAM

Mengapakah manusia itu mudah terdorong melakukan jenayah, kejahatan dan kemungkaran? Tidakkah cukup undang-undang sivil atau lain-lain undang-undang didunia ini yang menetapkan hukuman penjara atau denda sejumlah wang ringgit atau kedua-duanya sekali. Tidakkah terfikir oleh mana-mana penjenayah bahawa nilai nyawa mangsanya adalah sama dengan nilai nyawanya sendiri? Namun jenayah sentiasa berlaku di mana-mana saja di muka bumi ini, sekalipun ada mahkamah dimana-mana di dunia ini kerana mereka beranggapan bahawa perbuatan jenayah mereka akan terlepas daripada hukuman kerana ada peguam pintar yang akan membela mereka.

Barat telah mengguna pakai undang-undang Islam yang berasaskan cerita Nabi Daud A.S. dalam surah Saf ayat 21-26 yang bermaksud : “Sudahkah sampai kepada kamu Wahai Muhammad, berita perbicaraan dua orang yang berselisihan ketika mereka memanjat mehrab Nabi Daud. Beliau terperanjat tetapi kedua-dua orang yang berselisih faham itu menenangkannya lalu berkata “Jangan takut kami ini adalah dua orang yang berselidihan, salah seorang daripada kami telah berlaku zalim kepada yang lain. Oleh itu hukumkanlah di antara kami dengan adil dan janganlah melampaui batas keadilan, serta pimpinlah kami ke jalan yang lurus.

MENANGANI ISU AGAMA SECARA HIKMAH

Setiap tahun kita disemarakkan dengan pelbagai perayaan kaum dan agama. Umat Islam yang penganutnya dari pelbagai kaum, merayakan hari raya haji pada 20 Disember, Orang Kristian yang penganutnya dari pelbagai kaum juga akan merayakan hari krismas pada 25 Disember nanti. Ajaran Nabi Muhammad S.A.W mengiktiraf agama kristian sebagai agama kitab. Sebab itu baginda telah menerima mereka sebagai rakan kongsi dalam negara Islam yang dilahirkan di Madinah.

Semua perayaan ini ada hubungan rapat dengan rumah ibadat seperti masjid dan gereja. Rumah ibadat umat islam seperti masjid didirikan mengikut peraturan yang ditetapkan. Ia tidak boleh didirikan di merata-rata tempat mengikut sesuka hati tuan imam. Masjid tidak boleh didirikan di atas tanah persendirian kecuali setelah tanah itu di tukar syarat menjadi tanah wakaf untuk masjid berkenaan.

Begitu juga dengan rumah ibadat orang kristian seperti gereja. Mereka tidak mendirikannya di merata-rata tempat sesuka hati paderinya. Mereka mendirikannya mengikut reka bentuk yang menarik seprti kita lihat di Melaka dan lain-lain tempat yang mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu. Bangunan tetap sebagai rumah ibadat dengan perancangan yang teliti harus menjadi teladan kapada mana-pihak berminat mendirikan rumah ibadat.

Setiap orang boleh melakukan cara ibadatnya secara bersendirian di mana-mana tempat pun kerana perlembagaan kita memberi kebebasan beragama dan beribadat. Kebebasan beragama itu tidaklah bermakna mana-mana orang Islam yang mengerjakan solat di tanah lapang, boleh mendakwa bahawa tanah itu adalah tanahnya dan dia bebas mendirikan masjid di situ. Jika ada dakwaan seumpama itu kerana ada kepentingan peribadi untuk mendapat pampasan, tidak ada sesiapa dari kalangan pemimpin Islam menyokong tuntutan itu, malah mencegahnya secara hikmah.

Senario ini menjadi kita lebih keliru apabila ada sekumpulan penganut agama tertentu sengaja mencari tempat strategik untuk mendiri tempat ibadatnya dengan alasan dia bermimpi demikian. Keadaan lebih keliru apabila ada beberapa individu lain mendakwa mendapat mimpi yang serupa dan mendakwa rumah ibadah itu kepunyaannya. Oleh sebab demikian, rumah ibadah itu menjadi rebutan dua jawatankuasa yang mempunyai kepentingan bersama dan membuat tuntutan yang sama kepada kerajaan atau kepada syarikat perumahan. Ini bukan isu kebebasan beragama tetapi isu orang mencari kesempatan. Tulisan ini dibuat berasaskan pengalaman sebagai ahli parlimen di salah satu kawasan yang banyak terdapat kuil.

Yang lebih malang lagi kerana ada pemimpin-pemimpin aktivis agama bertindak menjadi wira mereka yang mendirikan rumah ibadah sesuka hati mengikut mimpi masing-masing bukan mengikut kanun tanah negara atau mengikut undang-undang kerajaan tempatan. Yang sangat mendukacitakan pemimpin-pimpin itu dari kumpulan propesional yang sangat arif dengan peraturan kerajaan tempatan, cekap dengan kanun tanah negara malah cekap dalam segala undang-undang negara dan antarabangsa. Orang-orang inilah menjadi dalang kepada kumpulan haram sehingga nama negara tercemar diluar negara sebagai negara yang tidak aman dan terjejas teruk industri pelancongan kita.

Sekarang timbul fasa baru apabila ada tuntutan supaya ditubuhkan satu jabatan bukan agama Islam setaraf dengan jabatan agama Islam di negeri-negeri atau di Jabatan Perdana Menteri sebagai jabatan bukan agama Islam. Perkara ini berlaku kerana dalam pelajaran sivik tidak dimasukkan tafsiran agama rasmi dan hal ehwal Islam dibawah bidang kuasa raja-raja Melayu. Jabatan Hal Ehwal Islam (JAKIM) hanya berfungsi sebagai penyelaras program agama tiap-tiap negeri sahaja. Sebab itu kerajaan tidak pernah melayan tuntutan mana-mana pihak untuk menubuhkan Kementerian Agama Islam kerana ia akan bercanggah dengan perlembagaan negara.

Ini tidak bermakna isu-isu bukan agama Islam tidak ada tempat untuk berteduh kerana mereka boleh berunding dengan ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen di kawasan mereka. Jabatan Perdana Menteri juga ada menubuhkan sebuah agensi yang bernama Institut Kemahiran Islam (IKIM) yang membuka pintunya kepada Non Muslim. Mereka sentiasa mengadakan seminar dan forum untuk mereka yang bukan beragama Islam. Ada banyak isu yang telah ditimbulkan. Jabatan-jabatan kerajaan yang ada hubungan dengan undang-undang dan perlembagaan, sentiasa mengadakan dialog dengan pelbagai golongan agama termasuk yang bukan beragama Islam terutamanya isu pertukaran agama, penjagaan anak, harta sepencarian dan lain-lain. Mengapa kita tidak mahu membenarkan jabatan dan agensi ini menjalankan tugas mereka? Seperti orang lain, mereka juga memerlukan masa.

Sebelum kita menyambut lima puluh tahun merdeka, isu seumpama ini tidak pernah timbul, kerana generasi merdeka tahu sejarah Tanah Melayu malah mereka sangat tahu dengan sejarah tuntutan kemerdekaan negara kita. Mereka tahu bagaimana suku kaum Cina, India bersetuju dengan isi kandungan manifesto Perikatan dalam pilihan raya tahun 1955 dan memorandum bermasa antara semua kaum dalam Perikatan kepada Suruhanjaya Reid, yang menuntut perkara-perkara seperti Islam sebagai agama persekutuan di bawah bidangkuasa raja-raja Melayu, mengekal hak istimewa orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Sudah sampai masanya bagi pihak media elektronik memberi didikan mengenai perlembagaan negara kita dan sejarah asal usul negara ini supaya dapat difahami oleh semua kaum di negara ini terutama generasi muda. Didikan ini lebih berkesan jika dibuat dalam bentuk iklan kartun tetapi direka dengan panduan dan nasihat dari pakar perundangan dan hal ehwal Islam, supaya tidak pula timbul isu baru yang menyusahkan pula. Kita perlu menangani isu-isu agama secara hikmah. Usaha itu boleh juga dibuat dalam bentuk nyanyian.

Rencana ini disiarkan dalam Utusan Melayu pada hari raya haji khamis 20hb Disember 2007