Catatan Sejarah Melayu zaman silam, membuktikan bahawa Malaysia adalah Tanah Melayu iaitu negara bagi orang Melayu yang diwarisi zaman berzaman bertuankan Raja-raja Melayu. Kesultanan Melayu ini diiktiraf oleh kerajaan-kerajaan di barat dan timur. Negara-negara barat dan timur menjadikan Tanah Melayu sebagai pusat pertukaran perdagangan mereka.
Ada pedagang Cina telah lama tinggal di Melaka dan mereka dikenali sebagai Baba Melaka. Mereka fasih berbahasa Melayu dan menerima kebudayaan Melayu sebagai kebudayaan mereka, sekalipun mereka terus mengamalkan kebudayaan mereka sendiri.
Pedagang Arab dan India bermasyarakat dengan orang Melayu melalui perkahwinan. Mereka dikenali sebagai Jawi Peranakan. Sehingga sekarang mereka masih mengguna perkataan mami, nana, hahib, ana dan enta. Mereka menumpahkan taat setia kepada Tanah Melayu tanpa berbelah bahagi.
Kerajaan Melaka menjadi pusat empayar Melayu Nusantara, tetapi penjajah Portugis telah menyerang dan mengambil alih Kerajaan Melayu Melaka yang kemudian menyerahkannya kepada belanda dan Inggeris secara berturut-turut
Penjajah Inggeris menjadikan Tanah Melayu sebagai pusat aktiviti ekonomi mencari kekayaan. Aktiviti perdagangan mereka yang utama ialah getah dan bijih yang mendapat permintaan yang tinggi di Eropah. Mereka memerlukan tenaga buruh yang banyak untuk perusahaan perlombongan.
Orang Cina dibawa masuk sebagai pekerja di lombong bijih dan orang India sebagai pekerja di ladang getah. Semua mereka tinggal dalam kelompok mereka sendiri di lombong bijih timah atau di ladang getah.. Mereka bercakap dalam bahasa mereka sendiri malah dalam dialek mereka sendiri. Mereka membawa bahasa dan budaya dari Cina atau India. Mereka tidak berinteraksi dengan orang-orang Melayu. Mereka berlainan sekali dengan Baba Melaka dan Jawa Peranakan.
Tahun 1800 hingga tahun 1930 berlaku penghijrahan orang-orang Cina ke Tanah Malayu daripada wilayah Hokkien dan Kwangtung, Cina, kerana negeri mereka sering dilanda banjir, perang saudara dan sebagainya. Kebanyakan Cina Kanton adalah peniaga, Cina Hakka adalah pelombong di lombong bijih, Cina Teochew bekerja sebagai petani seperti penanam sayur dan cina Hailam membuka kedai kopi dan bekerja sebagai orang gaji kepada orang-orang Eropah.
Selepas penjajah British mendapat peluang menjadi penasihat kepada Raja-raja Melayu, berlakulah penghijrahan orang India ke Tanah Melayu sebagai buruh jalan raya dan buruh ladang kopi dan getah kerana orang Eropah mendapati upah mereka adalah murah. Buruh-buruh yang dibawa masuk ke Tanah Melayu tediri daripada orang-orang Tamil dan Telegu. British membawa masuk orang Ceylon sebagai kerani untuk membantu pengurusan ladang. Orang India dari suku Malayalee yang berasal daripada Malabar, yang kebanyakan mereka beragama Islam telah membuka kedai-kedai makanan di Tanah Melayu.
Sebelum melanggar Tanah Melayu, Tentera Jepun telah melanggar dan menceroboh Tanah Besar Cina sehingga berlakunya kezaliman kepada rakyat negeri itu. Berita itu sampai kepada orang-orang Cina di Tanah Melayu. Oleh sebab itu orang-arang Cina di sini berdendam dengan tentera Jepun. Itulah sebabnya mereka menentang tentera Jepun di Tanah Melayu kerana mahu membalas dendam keganasan Jepun di Tanah Besar Cina. Mereka tubuhkan gerakkan bawah tanah malah masuk hutan untuk membalas dendam kepada tentera Jepun berbekalkan semangat komunis yang kental. Mereka mahu meletakan tanah Melayu di bawah pemerintahan komunis di tanah besar Cina.
Ada pun perjuangan orang Melayu dalam hutan atas nama tentera wataniah kerana mahu membantu Inggeris menawan semula Tanah Melayu. Mereka menyesal dengan kedatangan Jepun yang dijangka akan menikmati barang-barang keperluan hidup yang murah tetapi penampar yang lebih murah.
Orang-orang India yang dibawa masuk oleh penjajah Inggeris sebagai pekerja ladang telah bergiat dalam gerakan buruh. Mereka dibantu oleh rakan-rakan mereka yang datang sebagai kerani atau pedagang atau pengamal undang-undang. Oleh sebab itu kita lihat ramai keturunan India terlibat dalam kepimpinan parti buruh dan peguam. Ada dalam kalangan mereka yang tidak taat kepada negara ini. Mereka mengaut keuntungan dan pendapatan mereka untuk dihantar balik ke India.
Tidak ada orang Cina atau orang India menyokong gerakan UMNO menentang Malayan Union. Pergerakan orang Melayu yang berasaskan demokrasi berperlembagaan telah berjaya menghapuskan Malayan Union sehingga tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu, tetapi masih di bawah pemerintahan British.
Pada 3 Julai 1946, kerajaan Inggeris bersetuju dengan desakkan UMNO supaya kerajaan Malayan Union ditarikh balik dan diganti dengan sebuah kerajaan yang boleh diterima oleh orang Melayu. Kerajaan Inggeris telah bersetuju menarik balik kerajaan Malayan Union dan digantikan dengan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.
Pada 24 Julai Raja-raja Melayu dan UMNO telah menyediakan satu deraf perlembagaan persekutuan untuk mengganti perlembagaan Malayan Union. Deraf perlembagaan itu diserahkan kepada Sir Edwarde Gent, Gabenor Malayan Union dalam satu persidangan yang diadakan di King House yang berlangsung daripada 24 hingga 25 Julai 1946.
Di akhir persidangan itu, semua pihak bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyemak deraf perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang dicadangkan oleh Raja-raja Melayu dan UMNO. Senarai jawatankuasa itu seperti berikut:
1. Mewakili kerajaan Brtish
(a) Mr. A.T. Newboult Chief Secretary
(b) Dr. Linehan
(c) Mr. William
2. Mewakili Raja-raja Melayu
(a) Yang Mulia Raja Kamarulzaman bin Raja Mansor, Raja Kecil Tengah Perak.
(b) YB Dato’ Hamzah in Abdullah, Orang Kaya Menteri Besar Selangor
(c) Tuan Haji Mohamad Sharif bin Othman, Menteri Besar Kedah
(d) YB Dato’ Nik Ahmad Kamil bin Mohamad Dato’ Seri Setia Raja Kelantan.
3. Wakil UMNO
(a) YB Dato’ Onn Jaafar
(b) YB Dato’ Abdul Rahman bin Mohamad
4. Setiausaha
Mr. D.C. Watherston
TERMA RUJUKAN
Jawatankuasa ini akan berunding dan menjalankan tugas mereka mengikut terma rujukkan yang ditetapkan oleh Penjajah Inggeris, Raja-raja Melayu dan UMNO seperti berikut:
(a) Hendaklah ditubuhkan sebuah kerajaan pusat yang menyatukan sembilan buah kerajaan Melayu, agar dapat mengukuhkan pentadbiran negara dan menjana pembangunan ekonomi yang lebih mantap;
(b) Perjanjian baru ini bermatlamatkan bekerjaan sendiri
(c) Satu taraf kerakyatan hendaklah diperkenalkan
(d) Oleh kerana negeri-negeri ini adaalah negeri-negeri Melayu yang diperintah oleh raja-raja Melayu zaman berzaman, maka mereka berhak mempunyai suatu kedudukan khas dan mempunyai hak-hak yang mesti dipelihara
Jawatankuasa ini menjalankan tugasnya mulai 6 Ogos hingga 16 ogos 1946 dan dari 6 september hingga 28 September 1946, kemudian dari 11 Oktober hingga 1 November 1946. Perundingan terakhirnya mulai dari 11 November hingga 18 November 1946. Secara ringkasnya, jawatankuasa ini menjalankan tugasnya selama 58 hari.
Kebebasan penuh diberi kepada setiap seorang ahli jawatankuasa ini, untuk bercakap dengan berterus terang agar perlembagaan persekutuan itu boleh diterima oleh orang Melayu dan semua kaum yang tinggal di negeri ini. Akhirnya jawatankuasa ini mengesyorkan, supaya baginda King membatalkan Malayan Union dan menggantikannya dengan perjanjian perlembagaan Persekutuan yang digubal dan perjanjian-perjanjian negeri yang dimeterai sebelum ini.
Jawatankuasa Ini juga telah berunding mengenai nama yang sesuai bagi Persekutuan negeri-negeri Melayu dan negeri selat. Tiga nama telah dicadangkan:
(a) Malayan Federation Union
(b) Malayan Federation
(c) Federation of Malaya.
Ahli jawtankuasa telah bersetuju dengan nama “Federation Of Malaya” yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebagai “Persekutuan Tanah Melayu”
Sekalipun UMNO telah berjaya menghapuskan Malayan Union dan melahirkan Persekutuan Tanah Melayu, namun perjuangannya masih belum selesai selagi penjajah masih berada di buminya. Perundingan demi perundingan diadakan sehingga penjajah British meminta kepada UMNO supaya membuka kerakyatannya kepada pendatang Cina dan India. Itulah sebab utama mendorong Dato’ Onn Jaafar mahu membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu tetapi tidak dipersetujui oleh ahli-ahli UMNO. Itulah sebabnya beliau menarik diri daripada memimpin UMNO. Kepimpinan UMNO diambil alih oleh Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang meneruskan berjuangan UMNO berasaskan kebangsaan Melayu dan ketuanan Melayu.
Dalam ucapan sulungnya selepas dipilih menjadi Yang Dipertua Agung UMNO, Tunku menegaskan “Peliharalah tuntutan kemerdekaan kita itu dengan jujur dan amanah. Janganlah sampai menjual kehormatan negeri dan bangsa kita, kerana hendakkan kemerdekaan. Kaji dan selidikkanlah apa yang akan terjadi kepada bangsa kita kelak. Oleh sebab itu saya mahu tegaskan bahawa kita mestilah berpegang teguh kepada semangat Kebangsaan Melayu supaya kedaulatan negeri ini kembali kepada bangsa Melayu.”
Pandangan Tunku ini adalah selaras dengan pandangan Sir Hugh Clifford salah seorang gabenor British yang berucap dalam Federal Council dalam tahun 1927 “Saya telah berkata bahawa negeri ini ialah negeri Melayu dan akan kekal menjadi negeri Melayu selama-lamanya, kerana ia berasal daripada negeri Melayu. Semua pegawai Inggeris yang diamanah menjalankan tugas dalam negeri ini, hendaklah sentiasa menyimpan ingatan nasihat saya ini terutama setiap negeri Melayu itu hendaklah sentiasa diusahakan supaya menuju agar keselamatan dan kemajuan anak bangsa Melayu tercapai. Sila rujuk Buku Catatan Harian Hugh Cliford dan lihat juga Arkib Warisan Eksklusif hlm 44 : Koleksi Surat Persendirian ANM, SP 2/1)
Tunku memberi jaminan kepada kaum-kaum lain di negeri ini dengan katanya “Berkenaan dengan kaum-kaum lain yang ada di dalam negeri ini, kita tidak akan melupakan bahagian mereka. Kaum-kaum yang berada di negeri ini bolehlah saya memberi jaminan bahawa bangsa Melayu ini bukanlah bangsa yang tamak. Sejarah telah membuktikan bahawa kaum-kaum yang berada di Malaya hari ini, lebih kaya daripada orang Melayu. Kekayaan mereka itu berpunca daripada orang Melayu yang tidak tamak. Orang bukan Melayu berjaya menjalankan perniagaannya di kampung Melayu, malah mengalahkan peniaga Melayu dikampungnya sendiri”. Generasi yang hidup dalam kurun ke-21 sekarang ini, mesti mengkaji ucapan Tunku Abdul Rahman ini dengan teliti dan berhemah. Memang benar kenyataan Tunku Abdul Rahman yang disampaikan 50 tahun dahulu itu
Penjajah British masih memberi tekanan kepada Tunku supaya bekerjasama dengan orang Cina dan India agar dapat hidup bersama dalam negeri ini tetapi Tunku terus mendesak supaya diadakan pilihan raya sebagai proses menuju kemerdekaan. Proses pilihan raya itu nanti boleh melihat sejauhmana jaminan persefahaman dan kerjasama antara orang melayu dan orang Cina.
Dalam pilihanraya bandaran Kuala Lumpur, UMNO telah bersetuju dengan rancangan bekerjasama dengan MCA . Kedua-dua pihak iaitu UMNO dan MCA bersetuju supaya bertanding dengan satu simbol dan atas satu pakatan yang dikenali kemudiannya sebagai Perikatan. Perikatan menetapkan sebilangan kerusi untuk UMNO dan sebilangan kerusi untuk MCA. Perikatan menang 9 kerusi daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.
Kejayaan ini mendorong Tunku mengadakan rundingan meja bulat dengan MCA untuk memperkukuhkan Perikatan. Satu majlis perikatan telah ditubuhkan untuk menghadapi pilihan raya yang lebih besar iaitu pilihan raya persekutuan tahun 1955. Dalam pilihan raya ini Perikatan telah menang 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. UMNO kalah satu kerusi kerana Parti Kebangsaan Melayu Perak telah memecah undi UMNO. Tidak ada satu calon MCA atau MIC yang kalah.
T.H. Tan Setiausaha Perikatan dan Setiausaha Kerja parti MCA telah merakamkan penghargaan yang tinggi kepada Tunku kerana pengorbanan UMNO melepaskan kawasan majoriti pengundi Melayu kepada MCA. Malah pemimpin UMNO berkempen bermati-matian bagi memastikan kemenangan MCA, sekalipun berhadapan calon PAS dari kalangan orang Melayu.
Kejayaan ini berpunca daripada manifesto perikatan yang berjanji mahu melaksanakan perkara-perkara berikut:
· Menuntut kemerdekaan dalam tempoh satu tahun
· Mengekal hak istimewa orang Melayu
· Memberi kerakyatan kepada bukan Melayu
Kejayaan Tunku menubuhkan Perikatan telah mendorong penjajah British mahu berunding dengan UMNO dan Perikatan supaya dapat ditubuhkan sebuah kerajaan peralihan, bermula dengan pilihanraya sebelum merdeka tahun 1955. Kejayaan Perikatan memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, menarik minat penjajah untuk memberi kemerdekaan kepada kerajaan bersendiri yang dipimpin oleh Tunku.
Pada bulan Mac 1956, Kerajaan Persekutuan telah menyiarkan satu Kertas Putih mengenai perlantikan sebuah suruhanjaya bebas seperti berikut:
“Persetujuan Baginda Queen dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu telah diperolehi melantik sebuah suruhanjaya bebas supaya membuat syor-syor mengenai perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang berkerajaan sendiri dan merdeka sepenuhnya dalam lingkungan Negara-negara Komanwel.
Ahli-ahli Suruhanjaya perlembagaan itu dilantik atas nama Baginda Queen dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu. Nama- ahli-ahli suruhanjaya itu adalah seperti berikut:
1. Lord Reid, seorang hakim British yang terkenal sebagai Pengerusi
2. Sir Ivor Jenings (United Kingdom)
3. Sir William Mac Kell (Australia)
4. Tuan B. Malik (India)
5. Tuan Hakim Abdul Hamid (Pakistan)
Bidang tugas suruhanjaya ini ialah:
(i) Untuk memeriksa susunan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang sedia ada dan menimbang kedudukan dan kedaulatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu.
(ii) Membuat syor corak Perlembagaan Persekutuan berasaskan
demokrasi berparlimen dengan mengadakan dua buah Dewan yang dikenali sebagai Dewan negara dan Dewan rakyat.
(iii) Pembentukan kerajaan Pusat yang memberi sedikit kuasa dan kebebasan kepada setiap kerajaan negeri mengenai sesetengah perkara kewangan yang akan diterangkan dalam perlembagaan ini.
(iii) Untuk memelihara kedudukan dan taraf Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai raja-raja yang berpelembagaan di dalam negeri masing-masing.
(iv) Perlantikan seorang Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Negara yang akan dipilih di kalangan Duli- Duli Yang Maha Mulia Raja -raja Melayu.
(v) Mewujudkan satu rupa bangsa bagi seluruh persekutuan.
(vi) Untuk memelihara kedudukan istimewa bagi orang-orang Melayu dan kepentingan-kepentingan yang halal bagi lain-lain kaum.
Suruhanjaya ini dikenali sebagai Suruhanjaya Reid.
Anggota Suruhanjaya ini telah tiba ke Tanah Melayu untuk menjalankan tugasnya tidak berapa lama selepas rombongan merdeka pulang ke Tanah Melayu.
Bagi memulakan tugasnya, suruhanjaya ini telah meminta buah fikiran dan pandangan orang ramai berkenaaan dengan pembentukan Perlembagaan Malaya merdeka, itu sama ada dengan menemuinya terus atau menghantar buah fikiran atau memorandum masing-masing kepadanya.
Banyak badan dan orang perseorangan telah mengambil kesempatan menghantar memorandum masing-masing atau datang sendiri menemui suruhanjaya itu. Antara yang paling banyak menyerahkan memorandum kepada suruhanjaya berkenaan ialah golongan orang Cina yang berada di luar MCA. Badan-badan atau pertubuhan- pertubuhan Melayu, selain daripada UMNO, kebanyakannya tidak merasa penting dan tidak melakukan sepertima yang dibuat oleh orang-orang Cina.
Suruhanjaya Reid telah meminta parti-parti politik, pertubuhan, persatuan dan orang awam supaya menghantar memorandum atau cadangan mereka mengenai corak perlembagaan yang dirancangkan itu. Suruhanjaya ini bukan sahaja menerima memorandum daripada pelbagai kaum di negara ini tetapi juga mendengar secara khusus tuntutan tertentu seperti tuntutan kaum Cina yang dilakukan oleh Tun Tan Cheng Lock di rumah beliau di Melaka. (Lihat gambar kenangan Tun Tan Cheng Lock yang tersimpan dalam Arkib Negara)
Sebagai sebuah parti Melayu yang bertanggungjawab, UMNO tidak bertindak secara bersendirian tetapi melalui perundingan meja bulat dalam Perikatan (BN) dengan kaum Cina dalam MCA dan kaum India dalam MIC. Ketiga-tiga kaum yang terbesar itu telah bersetuju dengan terma rujukan suruhanjaya perlembagaan yang ditetapkan oleh Kerajaan Inggeris dan Raja-raja Melayu seperti berikut:
· Mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu sebagai raja berdaulat dalam negara demokrasi berparlimen.
· Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini.
· Memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu berdasar Jus Soli
· Islam sebagai Agama Persekutuan tetapi memberi kebebasan penganut agama lain menjalankan upacara agama dan kebudayaan masing-masing.
· Bahasa Melayu sebagai agama rasmi tetapi memberi kebebasan mengguna bahasa suku kaum masing-masing secara peribadi.
Persetujuan orang Cina dalam MCA dan orang India dalam MIC mengenai perkara-perkara tersebut di atas sebagai Sosial Kontrak yang kita perkatakan sekarang. Tuntutan persekutuan orang Cina dan orang India yang lain tidak mempunyai asas yang kukuh dan oleh sebab itu Suruhanjaya Reid tidak menerima saranan mereka. Apa yang dituntut oleh kaum Cina dan kaum India sekarang adalah mengulangi tuntutan yang dibuat oleh pertubuhan mereka yang terdahulu. Tuntutan itu tidak berasas, malah hujah mereka yang menyanggahkan keputusan yang dibuat oleh Perikatan itu pun tidak berasas.
Semua pihak harus mencari pengertian dan memahami apakah yang dimaksudkan dengan istilah Sosial Kontrak. Mengikut pakar bahasa Prof Emiratus Dato’ Dr. Nik Safiah Karim dari Universiti Malaya bahawa sosial kontrak itu bermaksud ‘Kesepakatan yang diabadikan oleh sejarah mengenai norma hidup bersama pelbagai kaum dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Persepakatan itu dicapai secara sukarela melalui perundingan dan dianggap ‘binding’ untuk generasi seterusnya.